Monday, 24 March 2014

Perkembangan Fetus

Mesti ramai yang tertanya-tanya apa yg berlaku pada peringkat awal kehamilan anda. besar manakah saiz bayi anda pada trimister pertama. Dan bagaimana kehamilan terjadi?? Jom baca info nyg saya dapat dari pembacaan zu.



Adakah anda bersedia? Ramai wanita, ketika mahu hamil, bertindak untuk tidak mengambil minuman keras, tidak merokok atau mengambil sebarang ubat - termasuk ubat yang dijual tanpa preskripsi - agar badan mereka berada dalam keadaan yang paling sihat untuk menghasilkan bayi.

Walaupun agak aneh, doktor anda akan mengira tarikh jangka lahir (dan umur gestasi bayi anda) dengan menghitung balik ke hari pertama haid terakhir anda. Oleh sebab sukar untuk mengetahui dengan tepat bilakah masa ovulasi dan juga bila sperma mensenyawakan telur anda, pakar perubatan sering menggunakan tarikh haid terakhir sebagai titik permulaan bagi sembilan bulan berikutannya. Ini bermakna secara 'rasmi' minggu pertama kehamilan anda ialah minggu haid terakhir anda bermula. Sebab itu, umur sebenar bayi ialah dua minggu terawal dari umur gestasinya.

Semasa minggu kedua - dan setiap bulan sepanjang tempoh penantian ketibaan nyawa baru - hormon estrogen merangsang uterus anda untuk menyediakan lapisan tisu yang subur dan sarat darah. Peningkatan tahap hormon progesteron menyediakan uterus untuk menyara telur yang disenyawakan. Pada masa yang sama, ovari mematangkan telur-telur dalam sak-sak penuh cecair yang bergelar folikel. Dalam tempoh masa singkat badan anda membuat persediaan ini, konsepsi boleh berlaku, asalkan sperma berjaya bertemu telur.

Menjelang minggu ketiga, beberapa perkara akan berlaku. Di pertengahan kitaran (hari ke-14 dalam kitaran biasa 28 hari), anda akan mengovum - satu daripada telur anda ditarik dan dimasukkan ke dalam tiub falopio. Dalam 12 hingga 24 jam berikutan, telur ini akan disenyawakan jika satu daripada 350 juta sperma (jumlah dalam pancutan mani biasa) berjaya berenang dari vagina, melintasi uterus, terus menuju ke tiub falopio, lalu menembusi telur.

Setelah disenyawakan, telur itu, sekarang bergelar zigot, dengan serta-merta menutup membran luarnya untuk menyekat 250 sperma lagi yang juga berjaya membuat perjalanan itu. Kemudian ia mula membahagi kepada sel-sel yang serupa sambil membuat perjalanan turun dari tiub falopio ke uterus, di mana ia akan terus berkembang. Anda mungkin tidak sedar yang anda hamil untuk beberapa minggu lagi, walaupun setengah wanita percaya yang mereka tahu saat-saatnya konsepsi berlaku.





Sunday, 23 March 2014

50 sebab untuk rasa gembira bahawa anda HAMIL

Bagaimanakah perasaan anda apabila mendapati anda kali pertama positif mengandung?? Pasti anda berasa gembira. Kalau sebelum anda hanya berdua dengan suami, sekarang sudah ada orang ketiga yg bakal menceriakan suasana rumahtangga anda. Syukur Alhamdulillah. . tak terhingga kerana Allah telah memberi peluang untuk melahirkan zuriat suami yg dicintai. 




Tentu anda tertanya bagai mana keadaan janin anda ketika ini.. bagaimanakah bentuk rupanya. Adakah dia selamat dan mendapat pemakanan yg mencukupi?? Apakah yg akan berlaku pada diri anda. 


Ada masa-masanya apabila kita semua terfikir, ‘Tak mungkin lagi!’ semasa hamil. Mungkin mabuk hamil membuat anda tidak gembira atau anda sudah terlebih hari selama 10 hari dan tiada tanda-tanda kontraksi berlaku. Untuk mengingatkan anda bahawa hamil boleh jadi menyeronokkan, kami telah mengumpulkan beberapa perkara yang indah mengenai kehamilan.


1 Ingatlah semula minggu-minggu pertama semasa hanya anda dan suami sahaja yang mengetahui rahsia istimewa ini.


2 Mengetahui bahawa anda mempunyai sembilan bulan untuk merancang, bermimpi dan berfantasi.


3 Memilih pakaian materniti. Ia sangat praktikal dan seksi.


4 Kini anda ada alasan yang baik untuk memanjakan diri. Luangkan masa dalam mandian beraroma, pergi berurut atau lumurkan losyen yang menenangkan di perut.


5 Cuti bersalin di mana anda mempunyai dua bulan (atau tiga bulan jika anda penjawat awam) untuk bersama-sama dengan bayi anda.


6 Anda boleh mengikuti kelas pranatal dan membuat ramai kawan baru. Jangan lupa komuniti online kami. Ia adalah satu lagi cara yang baik untuk berjumpa dengan mereka yang dijangka bersalin sama dengan anda.


7 Ini merupakan satu-satunya masa dalam hidup di mana anda perlu meningkatkan berat badan tanpa rasa bersalah.


8 Jika ini adalah bayi pertama anda, nikmatilah sembilan bulan ini dengan tidur dan bangun lewat pada hari minggu. Anda tidak akan dapat kerap melakukannya lagi selepas ini.


9 Akhirnya anda mendapat payudara yang sering anda inginkan, yang juga bermakna anda mempunyai ...


10 ... alasan yang baik untuk membeli banyak coli baru yang cantik-cantik.



11 Akhirnya, anda boleh minta penumpang lain bangun dan memberi anda duduk dalam LRT, keretapi atau bas.


12 Anda mempunyai sesuatu selain daripada pokok bunga dan kucing untuk dibela dan dijaga!


13 Tiba-tiba anda mendapat banyak perhatian daripada ibu bapa, makcik dan pakcik, dan tidak lupa juga, suami anda.


14 Anda mungkin dapati hubungan anda dengan kakak, sepupu atau rakan-rakan yang telah menjadi ibu semakin rapat. Tahniah, anda baru mendapat keahlian percuma dalam kelab ibu bapa!


15 Memberitahu ibu, ayah, kakak, abang, makcik dan sepupu-sepapat lain mengenai berita gembira ini dan melihat wajah mereka menjadi ceria.


16 Kebolehan baru! Samada melipat lampin guna semula atau memasang katil bayi, tiba-tiba anda dapati anda suka mencuba kebolehan baru.


17 Tiba-tiba anda rasa begitu menghargai ibu anda dan segala yang beliau lalui semasa mengandung dan melahirkan anda.


18 Menghias bilik bayi.


19 Merasa tendangan pertama si kecil dan berfikir, “Adakah itu tendangan, atau cuma angin?”


20 Tidak rasa bersalah langsung apabila meminta suami keluar membeli sate diikuti dengan aiskrim coklat dan cendol.


21 Ibu bapa anda mengeluarkan semula katil bayi atau kereta sorong anda dahulu yang mereka simpan selama ini khas “untuk saat-saat ini”.


22 Pergi berjalan dengan suami anda dan menghirup udara segar kerana ia bagus untuk anda dan bayi.


23 Mengingati semula mimpi-mimpi pelik yang anda alami pada akhir kehamilan dan ketawa mengenainya bersama kawan-kawan.


24 Merasa bonjolan-bonjolan kecil seperti tapak kaki di perut anda dan mengetahui bahawa tidak lama lagi anda akan berjumpa dengan tuan punya kaki itu!


25 Memilih pakaian bayi dan merancang apa yang anda hendak beli.


26 Menulis diari kehamilan untuk dibaca oleh anak anda pada masa hadapan.


27 Meminta seseorang mengambil gambar anda sedang tersenyum melihat perut anda yang memboyot supaya satu hari nanti anda dapat melihatnya semula dan rasa tidak percaya anda boleh jadi sebegitu besar.


28 Dapat tahu berapa ramai mereka di luar sana yang bersedia untuk menjaga anda: nenek, datuk, mak dan ayah, nenek saudara yang selalu memarahi anda kerana menggunakan cawan-cawannya untuk bermain masak-masak, doktor, jururawat, kaunselor penyusuan...


29 Baring di katil dengan tangan suami anda memeluk perut anda yang memboyot dan mengetahui bahawa cinta anda berdua telah mencipta satu kehidupan yang baru.


30 Menikmati kelebihan-kelebihan seperti keluar makan malam, bercuti pada hujung minggu dan apa-apa lagi yang anda mungkin tidak dapat lakukan dengan mudah sebaik sahaja bayi anda lahir.


31 Mengetahui bahawa sejak daripada ini, apa-apa sahaja yang berlaku, anda tidak akan berasa bosan lagi.


32 Membuat kawan baru apabila anda pergi membeli-belah. Setiap orang mempunyai kisah kehamilan yang hendak dikongsi!


33 Anda boleh mengabiskan masa sepanjang malam berdebat mengenai nama bayi, tetapi jangan lupa mencuba carian nama BabyCenter dan senarai teratas nama-nama Malaysia jika anda tersekat!


34 Membayangkan bagaimankah rupa si kecil anda. Pastinya hidung suami yang mancung dan mata anda yang seksi!


35 Bermimpi mengenai, “Anak saya seorang menteri/artis popular/pakar bedah otak.”


36 Melihat perut anda yang memboyot dalam cermin dan mengetahui ada seseorang di dalamnya!


37 Cuba meneka apakah sebenarnya imej-imej samar yang tertera pada monitor pengimbas ultrabunyi itu. Meminta supaya gambar itu dicetak untuk dibawa pulang dan dilekatkan di dinding kubikel anda, atau menyimpannya di dalam beg untuk dicuri-curi pandang semasa duduk di dalam LRT.


38 Riak wajah suami anda tatkala dia melihat alat penguji kehamilan bertukar warna kepada biru, merenung perut anda yang semakin membesar atau merasa tendangan bayi di perut anda.


39 Membeli mainan comel yang pertama untuk bayi anda sendiri, bukannya untuk orang lain.


40 Membuat panggilan kepada suami untuk memberitahu bahawa masanya sudah tiba! Proses kelahiran sudah bermula.


41 Mencuba semua senaman yang anda telah pelajari dalam kelas pranatal dan mendapati ia benar-benar berkesan!


42 Suami atau rakan pelahiran anda memegang dan menyokong anda semasa kontraksi berlaku dan mengetahui anda boleh menaruh kepercayaan kepada mereka.


43 Apabila kontraksi semakin kuat, anda dapati bahawa senarai perkataan-perkataan sumpah seranah (dalam beberapa bahasa!) anda lebih panjang daripada yang anda sedar.


44 Membuat pilihan berdasarkan maklumat yang anda ketahui mengenai ubat penahan sakit dan mengetahui bahawa ianya sesuai untuk anda pada peringkat pelahiran tersebut.


45 Rasa lega dan gembira apabila secara tiba-tiba kesemua kesakitan anda hilang.


46 Merenung mata bayi anda yang baru lahir dan terus jatuh cinta.


47 Mendengar suami anda memberitahu rakan-rakan, pakcik jaga, makcik kantin dan entah siapa-siapa lagi kerana kegembiraannya tidak dapat dikawal.


48 Meraikannya! Tidak kira waktu, siang atau malam.


49> Membuat panggilan-panggilan telefon kepada rakan-rakan dan mengemaskini status di Facebook anda untuk mengumumkan berita gembira ini dan menerima jutaan ucapan tahniah daripada mereka.


50 Bangun tidur dan melihat bayi anda sedang tidur di sisi anda, membuatkan anda berfikir, ‘Wah, ini benar-benar terjadi! Saya kini seorang ibu!’


Apakah perkara-perkara yang membuatkan kehamilan anda sangat istimewa?

CAL MAG D

Satu Cal Mag D Plus mempunyai lebih vitamin D berbanding tiga cawan susu diperkuat, yang membantu anda mendapatkan kalsium harian an...